PENTINGNYA TEKNOLOGI
Dalam mendepani arus globalisasi, Malaysia telah berjaya berdiri sama
tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Hal ini
demikian kerana pelbagai kemudahan teknologi yang dicipta marcapada
ibarat cendawan tumbuh selepas hujan apabila manusia berlumba-lumba
untuk mencipta teknologi yang memudahkan kehidupan seharian.
Terdapat pelbagai kepentingan prima penggunaan teknologi
maklumat dalam kehidupan manusia. Antaranya ialah memudahkan manusia
untuk mendapatkan maklumat di hujung jari terutama dalam kalangan
pelajar. Menerusi teknologi maklumat ini, manusia akan dapat mempelajari
pelbagai maklumat keduniaan yang dapat membuka dan meluaskan minda
mereka. Selain maklumat pendidikan, kita juga dapat mencari maklumat
mengenai hiburan, isu-isu politik dan sebagainya.
Selain itu, manusia juga dapat berkomunikasi antara satu sama
lain tanpa sempadan. Pengenalan mengenai laman sosial seperi
"Facebook","Twitter","Friendster" dan sebagainya telah menghubungkan
manusia dengan dunia luar. Sebagai contoh seseorang yang berada di luar
negara sama ada atas urusan perniagaan atau menuntut ilmu dapat
melepaskan rindu serta bertanya khabar kepada keluarga tercinta yang
berada di perantaan hanya dengan menggunakan teknologi laman sosial.
Seterusnya, teknologi maklumat ini juga memudahkan ahli
pernigaan menjalankan aktiviti pernigaan mereka hanya di dalam talian
sahaja sekaligus dapat menjimatkan kos dan tenaga. Aktiviti perniagaan
yang dijalankan melalui talian bukan sahaja dapat memudahkan urusan
pekerja, bahkan ia juga dapat memudahkan pembeli atau pengguna.
Akhir sekali, manusia dapat melakukan pembayaran bil dan
urusan perbankan melalui laman sesawang sahaja. Manusia tidak perlu
menghabiskan tenaga dan bersusah-payah untuk menguruskan pelbagai
pembayaran dan urusan-urusan kewangan. Ia juga memudahkan seseorang yang
terlalu sibuk dengan kerja seharian membuat pembayaran dengan mudah.
Kesimpulannya, teknologi maklumat yang ada marcapada memainkan
peranan vital kepada setiap manusia. Teknologi maklumat ini haruslah
digunakan dengan sebaik yang mungkin kerana banyak manfaat yang dapat
kita peroleh menerusi peranan teknologi maklumat itu sendiri.